HOME

Wednesday, July 25, 2012

Tanggung Sendiri!

Tanggung Sendiri!
Posted on Wednesday, July 25 @ 01:00:00 PDT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu

TazkirahOleh: al-bahanj

"Perlukah kita tunggu orang lain untuk kita berubah? Perlukah kita kepada orang lain untuk kita berubah? Perlukah kita terikut-ikut dengan orang lain yang tidak mahu berubah? Soalan-soalan ini kadang-kadang menyergah ke dalam hati seseorang yang mahu berubah. Teragak-agak. Dikelambui dilema.

Muslimin-muslimat yang dikasihi ALLAH sekalian,

Kita dan mungkin juga semua orang tentu terlintas di dalam hati ingin berubah menjadi seorang manusia yang lebih baik di sisi ALLAH Ta`ala. Kadang-kadang perasaan itu datang syahdu di dalam hati ketika kita berseorangan diri. Itulah hidayah.

Hidayah datang untuk disambut oleh kita dengan tindakan. Ada yang menyahutnya lalu berubah. Dan ada yang membiarkan ia berlalu pergi tidak bersambut. Lantas mengekalkan seseorang itu di dalam keadaan yang sama.

Samada perlu kita menunggu orang lain atau tidak, samada kita perlukan seseorang untuk kita berubah, dan samada kita mahu kekal dalam keadaan yang sama disebabkan orang lain tidak mahu berubah, soalan-soalan itu tidak lagi relevan untuk ia difikirkan. Ini kerana kita akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas diri kita sendiri. Bukan orang lain.

Kita Tanggung Sendiri!



Apa yang kita lakukan semalam, hari ini atau esok, semuanya akan ditanggung oleh kita. Perlukah kita tunggu orang lain? Perlukah kita terikut-ikut dengan suasana keluarga, kawan, jiran atau masyarakat yang terus lalai dan leka dengan keseronokan dunia sehingga terlupa matlamat kejadian kita???

Nah, mari kita ambil nafas, tenang, duduk, hayati dan fahami kalam ALLAH Ta`ala dalam surah al-Isra’, ayat 13-14 berikut:



Maksudnya:

“Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalungkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatap).”



Maksudnya:

“(Lalu Kami perintahkan kepadanya): “Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)”.”

Semua amal perbuatan kita sejak lahir sampai mati akan diperlihatkan oleh ALLAH `Azza wa Jalla kepada kita dan malah boleh dibaca oleh orang lain. Setiap kita akan membawa catatan amal masing-masing di tengkuk masing-masing.

Semua amal akan dibawa. Samada kecil atau besar. Samada baik atau jahat. Samada perbuatan itu dilakukan dalam terang atau gelap, sembunyi atau zahir, ketika seorang atau ramai, siang atau malam, semuanya pasti dibawa dan ditunjukkan.

Itu semua akan diperlihatkan kepada kita akan balasannya. Ketika itu, kita tidak mampu berbuat apa-apa lagi melainkan pasrah dan tunggu pembalasan dari Rabbul Jaliil.

ALLAH Ta`ala berfirman juga di dalam surah al-Zalzalah, ayat 7-8:



Maksudnya:

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”



Maksudnya:

“Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”

Tidak tertinggal sedikit pun. Semuanya akan diperlihatkan dan dibalas sesuai dengan amalan masing-masing.

Ya, masing-masing! Sendiri-sendiri!

Perbanyakkanlah Amalan, Minta Ampun Selalu

Justeru, sewajarnya kita persiapkan diri kita masing-masing. Perbanyakkanlah amalan ketika di dunia ini selagi masih sempat. Mintalah ampun kepada ALLAH sentiasa dengan harapan agar DIA Yang Maha Pengampun dan Suka Memberikan Pengampunan akan mengampunkan kita.

Mengenai dosa, apakah bisa diampunkan ALLAH walaupun bermacam-macam dosa telah dilakukan?

- Ya, ALLAH akan ampunkan jika kita bertaubat.

Walaupun dosa sepenuh bumi?

- Ya, walaupun dosa sepenuh bumi. Asal sahaja kita mahu bertaubat.

Baca selanjutnya di pautan berikut untuk memahami betapa besarnya rahmat dan pengampunan ALLAH kepada hamba-hambaNYA:

Jangan Tunggu Orang!

Jangan tunggu orang lain jika orang lain tidak mahu berubah menjadi lebih baik.

Jangan beralasan tiada orang mahu membimbing. Kitalah seharusnya berusaha sendiri untuk merealisasikan perubahan itu. Carilah orang-orang yang ikhlas ingin membantu. Jika tidak jumpa, jangan jadikan itu sebagai pelemah semangat. Berubahlah dengan usaha sendiri. Kerana kita benar-benar perlukan kepada perubahan ini.

Dan janganlah pula terikut-ikut dengan trend orang sekeliling.

Jangan! Jangan! Jangan!

Biarlah jika kita terpaksa menjadi orang asing sekali pun lantaran kita seorang sahaja mahu berubah. Biarlah kita terpaksa digelar ‘pelik’ kerana tidak mengikut peredaran zaman. Kerana jika kita berubah kerana ALLAH, kebahagiaan itu pasti bersama dengan keredhaan ALLAH. Jika terpaksa menjadi orang asing atau pelik, maka berbahagialah kamu wahai ‘orang asing’ dan ‘orang pelik’.

Kerana esok pada Hari Akhirat kita akan tanggung sendiri semua yang kita perbuat. Bukan orang lain. Orang lain tidak akan tanggung amalan-amalan kita. Mereka akan berlepas diri dari kita. Tidak mempedulikan kita. Maka, kitalah yang mesti berbuat sesuatu untuk memastikan bahawa kita bersedia dengan catitan amalan kebajikan yang banyak.

Balasan Mengikut Berat Amalan Kebaikan

Di dalam surah al-Qaari`ah, ayat 6 hingga 9, ALLAH Jalla wa A`la berfirman mengenai balasan yang bakal diterima manusia mengikut berat amal kebajikan masing-masing. Firman ALLAH Subhanahu wa Ta`ala:









Maksudnya:

“Maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing); adapun orang yang berat timbangan amal baiknya,

Maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang.

Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya,

Maka tempat kembalinya ialah ‘Haawiyah’” 


Jika amal kebaikan kita banyak, maka besarlah harapan dan peluang kita untuk mendapat kebahagian pada Hari Pembalasan nanti. Manakala, jika amal kebaikan kita kurang, dalam erti kata lain amal perbuatan jahat kita lebih banyak, maka tempat tinggal kita pada Hari Akhirat nanti ialah Haawiyah, iaitu tempat yang penuh dengan api yang sangat panas membakar (na`udzu billahi min dzalik).

Ayuh muslimin-muslimat sekalian,

Kesempatan yang masih tersisa baki buat kita ini, manfaatkanlah. Kembalilah kepada ALLAH. Taubatlah. Dan perbanyakkanlah amalan kebaikan selagi hayat masih ada. Jangan tunggu lagi. Tiada apa yang mahu ditunggu lagi. Renung dan fikirkanlah semula akan firman-firman ALLAH Ta`ala di atas. Dan bertindaklah sekarang!



Berlumba-lumbalah buat kebaikan!

Semoga ALLAH Ta`ala memberikan kita semua hidayah dan taufiqNYA sehingga kita bertemu denganNYA, diberikan kebaikan kepada kita di dunia dan di akhirat dan dijauhkan kita semua dari api neraka, amin.

Allahumma, inni a`udzu biKA min `adzaabi jahannam, amin.

muzir.wordpress.com

5 Ramadhan 1433H

25 Julai 2012



*Sumber: http://muzir.wordpress.com" 

No comments:

Post a Comment