LAILATUL QADAR
Mencari Kemuliaan Taqarrub oleh seorang anggota Gerakan Islam.
1. Kebiasaan orang melayu yang beragama Islam di negara kita ini akan pancit di akhir Ramadhan, sedang Nabi saw mengajar kita supaya memperbanyakkan ibadah di sepuluh akhir Ramadhan. Barangkali kerana di dorong oleh mood aidilfitri pula dimeriahkan dengan rancangan-rancangan mengasyikkan di televisyen.
2. Masjid dan surau akan kembali lengang dan jamaah semakin berkurang menjelang akhir Ramadhan. Tumpuan mula teralih kepada persiapan menyambut hari raya secara berlebihan. Objektif Ramadhan hilang begitu sahaja. ini adalah suatu fenomena yang merugikan ummat Islam dan perjuangannya.
Firman Allah swt:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
(Surah al Qadar . Ayat : 1 – 5)
3. Malam yang dikenali sebagai “Lailatul Qadar” adalah merupakan malam terbaik bahkan malam yang paling mulia disediakan oleh Allah ‘semalam dalam tempoh setahun’ .
Sabda Rasulullah saw :[1]
وَ مَنْ قَامَ لَيْلَةَ اْلقَدْرِ إِيْمَانًا وَ احْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ .
“ dan barangsiapa yang mendirikan ( ibadah ) pada malam lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan penghayatan (mengharapkan redho Allah) nescaya diampunkan baginya segala dosa–dosanya yang telah lalu.”
(Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)
4. Al Imam an Nawawi rhm menyebut [2]: “ Lailatul Qadar adalah seafdhal–afdhal malam di dalam setahun. Barangsiapa yang mengadakan ibadah (qiamullail) pada malam Lailatul Qadar sekalipun ia tidak diberi taufiq untuk menyaksikan alamat–alamat Lailatul Qadar, nescaya ia dibalas dengan balasan yang tersebut.”
Rebutlah Peluang Taqarrub ini.
5. Setiap individu muslim yang menyertai Madrasah atau University of Ramadhan ini , sangat dituntut untuk mencari dan mendapatkan kelebihan malam Lailatul Qadar ini . Ia menjadi sunnah nabi kita Muhammad saw. dan juga menjadi amalan dan rebutan para salafussoleh untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. Rasulullah saw pernah bersabda :[3]
عَنْ عَائِشَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي اْلعَشْرِ اْلأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ وَ يَقُوْلُ : تَحَرُّوْا لَيْلَةَ اْلقَدْرِ فِي اْلعَشْرِ اْلأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ .
“ daripada A’isyah Rha berkata : Adalah rasulullah saw. selalu beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan dan baginda saw. bersabda ; Rebutlah bersungguh – sungguh peluang untuk mendapatkan Lailatul Qadar pada malam–malam sepuluh akhir Ramadhan .”
(Riwayat Imam Bukhari)
6. Rasulullah saw. melipat ganda amalan atau ibadah untuk menghampirkan diri kepada Allah swt. pada 10 malam akhir di bulan Ramadhan . Ini dapat dilihat dalam satu hadith yang diriwayat dari A’isyah Rha .[4]
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ اْلعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَ أَحْيَا لَيْلَهُ وَ أَيْقَظَ أَهْلَهُ .
“ dari A’isyah Rha berkata : adalah Nabi saw. apabila memasuki 10 akhir Ramadhan , Baginda bersungguh–sungguh mengerjakan ibadah dan menghidupkan malamnya dan menggerakkan anak isterinya (agar bangun beribadah)”
(Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)